Perak
mempunyai kawasan semulajadi yang menarik yang menjadi daya tarikan
pelancong ke negeri ini. Misalnya Hutan Belum di Hulu Perak, dan Pulau
Pangkor.
1. Taman Negeri Royal Belum
Taman Negeri Royal Belum adalah hutan dara yang luas dan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung.
Antara haiwan liar di hutan ialah gajah, badak sumbu, tapir dan harimau.
Royal Belum juga kaya dengan biodiversiti di mana tiga daripada 20
spesies bunga Rafflesia boleh dijumpai dan kesemua 10 spesies enggang
Malaysia berkampung di situ.
Selain keindahan alam semula jadi, Taman Negeri Royal Belum juga adalah
perkampungan Orang Asli iaitu di Sungai Tiang dan Sungai Kejar.
Taman Negeri Royal Belum dikatakan lebih tua berbanding Hutan Amazon.
2. Hutan Paya Bakau Matang
Diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1906, Hutan Paya Bakau Matang ini berkeluasan kira-kira 40,000 hektar.
Ia adalah rizab hutan paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia.
Matang kaya dengan pelbagai hidupan liar dan habitat yang tinggal di kawasan paya bakau dan dataran lumpur.
Pengunjung juga boleh menaiki bot menyusuri sungai pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip atau kunang-kunang.
Antara aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan di situ ialah melihat
kehijauan pokok bakau dan memerhati burung yang pelbagai spesies.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat proses menghasilkan arang.
3. Gua Tempurung
Gua Tempurung adalah sebuah gua batu kapur di Gopeng. Namanya diambil
sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9
kilometer dan dipercayai wujud sejak 8,000 SM.
Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya
menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk
stalagmit dan stalaktit yang berbeza.
Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar.
Di pertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi.
Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah
Malaysia di mana ia menjadi tempat persembunyian komunis dari 1950
hingga 1960.
Pada satu masa dahulu Gua Tempurung ini juga dijadikan lombong bijih timah dari tahun 1970.
4. Taman Herba Negeri Perak
Taman Herba Negeri Perak seluas 22 hektar terletak di Kampung Kepayang
di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Batu Gajah adalah tempat penanaman
pelbagai herba yang kini dipenuhi lebih 525 spesies pokok herba.
Spesies popular yang boleh didapati di Taman Herba Negeri Perak ialah
misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah dan tutup bumi rimba.
Selain itu, spesies seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bungah cengkih turut ditanam di sini.
Keindahan kawasan Taman Herba Perak dengan haruman herba yang pelbagai
sememangnya mendamaikan selain dapat menyenangkan jiwa selain
mempelajari pelbagai jenis spesies herba yang ada.
5. Sungai Klah Hot Springs
Dikelilingi bukit bukau serta gunung yang menghijau, Sungai Klah Hot Springs menawarkan sesuatu yang cukup unik.
Dibuka pada 2003, ia bukan saja menawarkan keseronokan mandi atau
berendam di kolam air panas semula jadi dan air gunung tetapi
pemandangan indah yang cukup menyenangkan.
6. Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort
Dengan kawasan seluas 14 hektar, Pulau Orang Utan di Bukit Merah
Laketown Resort menawarkan pengunjung keterujaan melihat gelagat dan
aksi orang Utan.
Berasal dari Malaysia dan Indonesia, Orang Utan adalah spesies beruk
terancam dan akhirnya akan dilepaskan ke dalam hutan selepas melalui
program pemulihan khas.
Dengan hanya menaiki feri selama lebih kurang 10 minit dari Bukit Merah,
anda berpeluang melihat anak-anak Orang Utan dengan pelbagai aksi.
7. Zoo Taiping & Night Safari
Terletak di kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki
Bukit Larut (Maxwell Hill), Zoo Taiping & Night Safari mempunyai
keistimewaan tersendiri.
Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah satu-satunya zoo di Utara Semenanjung Malaysia.
Ia mengambil masa kira-kira 45 minit dengan 2.5 kilometer trek berjalan kaki.
Berkeluasan lebih 8.5 hektar, Zoo Taiping mempamerkan 1,300 haiwan
daripada 180 spesies, antaranya harimau, singa, gajah, badak air,
zirafah, enggang, orang utan, kambing gurun, rusa ubi, badak tampung,
kijang, pelanduk, kanggaru merah, angsa hitam dan angsa magpie.
Dirasmikan pada 15 Jun 2003, Night Safari antara pertama seumpamanya di negara ini.
8. Ipoh - The Limestone Wonder
Ipoh adalah bandar yang cukup unik kerana ia dikelilingi bukit-bukau dan
gua batu kapur yang cukup unik. Pembentukan stalaktit dan stalagmit
selama berjuta-juta tahun pasti membuatkan sesiapa saja terpegun
keindahannya.
Di sini, anda boleh melihat keunikan Gua Tempurung, Gua Puncak, Sam Poh
Tong Temple, Perak Tong Temple, Gua Tambun, Taman Rekreasi Gunung Lang
dan Taman Tema Lost World Of Tambun.
Di Gua Tempurung dan Gua Puncak, anda pasti terpegun melihat formasi
stalaktit dan stalagmit yang unik selain laluan di sepanjang
penjelajahan di dalam kedua-dua gua itu.
Di Gua Tambun, sekitar tahun 1959, lukisan batu zaman Neolitik yang
berusia lebih kurang 5,000 tahun dahulu dijumpai di pinggir Ipoh.
Taman Rekreasi Gunung Lang pula menawarkan pemandangan bukit batu kapur dan tasik bekas lombong.
Dikelilingi kehijauan alam semula jadi serta bukit batu kapur yang
menakjubkan, Lost World of Tambun (LWOT) menjanjikan keunikan.
9. Lumut & Pulau Pangkor
Terletak lebih kurang 84 kilometer (km) dari Ipoh, Lumut cukup terkenal
dengan keindahan koleksi siput dan kraf tangan yang diperbuat daripada
batu karang.
Ia juga sering dikunjungi pelancong yang mahu bercuti ke Pulau Pangkor
yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit hingga 45 minit dengan
menaiki feri.
Pulau Pangkor kaya dengan bahan sejarah, antaranya Kubu Belanda yang
dibina pada abad ke-17 bagi menyelia industri perdagangan timah di
Perak.
'Pang Ko' yang bermaksud pulau cantik dalam bahasa Thai adalah destinasi
percutian ideal bagi yang inginkan ketenangan dan lari daripada
kesibukan di kota.
Jangan lepaskan peluang melihat proses penghasilan makanan laut segar di
Kampung Sungai Pinang Kecil, Kampung Teluk Gedung dan Teluk Dalam.
10. Kuala Kangsar Bandar Diraja
Bandar Diraja Kuala Kangsar yang berusia 150 tahun itu adalah antara
destinasi wajib dikunjungi jika melancong ke Perak. Bandar yang hanya
mengambil masa selama 30 minit pemanduan dari Ipoh punya pelbagai mercu
tanda.
Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok Kangsar yang tumbuh di
tebing sungai. Ada juga mengatakan nama Kuala Kangsar sempena 99 kuala
anak sungai di Sungai Perak iaitu kurang 100, maka ia diberi jolokan
nama 'Kuala Kurang Sa'.
Anda yang meminati sejarah mungkin boleh melakukan jejak warisan dengan hanya berjalan kaki menaiki Bukit Chandan.
Jangan lupa mengunjungi Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah dan Galeri Sultan Azlan Shah.
Jangan lepaskan peluang melihat bangunan bersejarah yang sudah berusia
lebih kurang 100 tahun iaitu Kolej Melayu dan Clifford School serta
melihat sendiri pokok getah tertua di Jalan Raja Chulan.
Selain tarikan sejarahnya, Kuala Kangsar juga adalah pusat menghasilkan Labu Sayong.
No comments:
Post a Comment