Friday, April 25, 2014

MELAKA


Bukit St. Paul (A'Famosa) 

Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu yang menghadap sungai, iaitu A'Famosa. Melaka adalah pusat perebutan antara kuasa-kuasa besar pada masa itu, dan mengalami ancaman serangan berterusan, sehingga kubu A'Famosa berada dalam keadaan kritikal ketika Portugal mengekalkan tapak penjajahannya di Timur.

Di sebalik dinding kubu terdapat terdapat rumah-rumah dan beberapa kedai makanan, istana, bilik mesyuarat bagi Ahli Majlis Portugis dan lima buah gereja. Serangan dari Belanda selama tujuh bulan telah memusnahkan hampir keseluruhan kubu, dan tinggalan yang masih kekal hingga hari ini ialah pintu masuk dan struktur sebuah gereja di atas bukit.


Kunjungilah Bukit St. Paul pada lewat petang yang dingin dan bersiar-siar di sekitar kawasan tinggalan sejarah ini. Di sini, anda hampir dapat membayangkan kegemilangan dan misteri Portugis bertahun-tahun dahulu...




Fredrick Hendrick Bastion Archaeological Excavation Site

Setelah Berjaya menakluk Melaka, Portugis telah membina kota bagi mengelak ancaman dari musuh pada ketika itu. Kota yang dibina oleh Portugis dari bahan batu laterit yang diperolehi dari kawasan sekitar mempunyai tembok keliling dan 8 buah bastion (rumah kubu). Bastion-bastion tersbut dibina di penjuru kota dan bahagian-bahagian tembok strategik yang sering menerima ancaman dari luar.

Bastion Fredrick Hendrick merupakan antara daripada 6 buah bastion penuh yang dibina ketika itu. Pihak Belanda telah menambah baik dan memperbaiki lagi bastion-bastion yang sedia ada tinggalan Portugis apabila berjaya mengalahkan Portugis pada tahun 1641. Pihak Belanda masih menerima tentangan luar dan rakyat tempatan dalam usaha merampas kembali Kota Melaka. Penambahan bahagian-bahagian tembok kota akan dapat memperkuatkan lagi pertahanan mereka dari ancaman tersebut. Penambahan tersebut melibatkan pembinaan bastion atau menara kawalan di kawasan yang strategik seperti di Muara Sungai Melaka yang menjadi tumpuan perdagangan dan persinggahan kapal-kapal dari luar.



Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN

Taman kebudayaan, Taman Mini Malaysia terletak beberapa kilometer di luar bandar Melaka, berhampiran bandar Ayer Keroh. Jika anda mempunyai minat dalam seni bina tradisional dan sukakan cara hidup sebegini, ini adalah tempat yang hebat dan paling sesuai untuk diterokai. Setiap rumah mewakili gaya seni bina 13 buah negeri di Malaysia dan dilengkapi dengan pelbagai barangan, seni dan kraftangan yang menggambarkan budaya setiap negeri.

Di dalam setiap rumah, anda boleh melihat sendiri pelbagai jenis kraftangan tulen yang halus buatannya berasal dari setiap negeri atau daerah. Patung-patung yang menyerupai kehidupan sebenar ditempatkan dalam setiap rumah, untuk menjadikannya kelihatan menarik, pakaian tradisional turut dipakaikan pada patung- patung hiasan yang terdapat di rumah- rumah tersebut.

Antara tarikan lain di taman ini termasuklah persembahan kebudayaan yang diadakan secara mingguan dan bermacam jenis permainan tradisional. Pada asasnya, ini adalah peluang untuk melihat kesemua senibina dan warisan Malaysia. Ia adalah kawasan persinggahan yang boleh menenangkan fikiran dari kesibukan dan hiruk-pikuk bandar Melaka yang berdekatan.








No comments:

Post a Comment